Johor mahu HSR diteruskan walaupun tak libat Singapura

Johor mahu HSR diteruskan walaupun tak libat Singapura

Johor mahu Projek Kereta Api Laju KL-Singapura diteruskan walaupun jajaran baru tidak melibatkan Singapura.

Hasni Mohammad yakin Putrajaya mempunyai perancangan lebih baik untuk Johor kerana lebih 300km jajaran asal HSR meliputi negeri itu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor berharap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diumumkan pembatalannya semalam, tetap diteruskan meskipun jajaran baru tidak melibatkan Singapura.

Menteri Besarnya, Hasni Mohammad berkata, keputusan itu turut memberi peluang kepada kerajaan persekutuan meneliti semula pulangan pelaburan projek tersebut kepada negara.

Beliau juga yakin kerajaan mempunyai perancangan lebih baik untuk Johor, berikutan lebih 300km daripada jajaran asal HSR meliputi negeri itu yang akan turut menerima impak langsung manfaat pembangunannya.

“Antara perkara yang kita (Johor) harapkan adalah agar HSR dapat diteruskan, walaupun tidak melibatkan Singapura. Saya percaya ia boleh memberi pulangan langsung kepada ekonomi negara dan Johor, lebih-lebih lagi apabila siapnya projek Sistem Transit Rapid Link (RTS Link).

“Apabila kita merancang untuk membina HSR, mungkin pertimbangan mengenai kewujudannya belum jelas dan ini adalah peluang untuk melihat semula perancangan HSR, sama ada bersendirian dan Malaysia menyusun (semula) pembangunan industri rel,” katanya dalam sidang media.

ADUN Benut itu berkata, ini termasuk melihat semula penggunaan Bas Rapid Transit (BRT) di Iskandar Puteri yang boleh ditukar kepada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan melengkapkan sistem perhubungan rel di Johor.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak menolak penglibatan Singapura dalam aspek pelaburan, meskipun jajaran baru HSR tidak melibatkan republik itu kerana usaha tersebut turut memberi manfaat kepada rakyatnya di Malaysia.

Pada masa sama, Hasni berharap kerajaan negeri turut dilibatkan dalam perbincangan baru projek itu bagi mengambil kira kepentingan rakyat Johor.

“Kita berharap sebarang perbincangan baru akan turut mengambil kira pandangan Johor dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat serta limpahan daripada pelaksanaannya.”

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, satu kajian terperinci meliputi semua aspek, termasuk daya maju projek kereta api laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat, akan dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.