
Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Rozak Muhammad berkata, keempat-empat mangsa, iaitu tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long, 47; anaknya Tuan Arizal, 19; Mohd Azri Mohd Rosdi, 28, dan seorang awak-awak dikenali sebagai Ujang, 40, yang semuanya dari Kelantan, ditemui di pesisir pantai berhampiran sebuah resort di Pulau Perhentian Besar kira-kira 8.45 pagi.
“Mangsa yang memakai jaket keselamatan ditemui penduduk kampung dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk mendapatkan rawatan awal.
“Keadaan mangsa kini stabil, namun belum dapat bercakap, dipercayai kerana terlalu terkejut dengan kejadian itu dan mereka akan dibawa ke tanah besar apabila keadaan sesuai,” katanya.
Seorang lagi mangsa Saari Saleh, 40, yang berasal dari Terengganu belum ditemui dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama polis giat melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Dalam kejadian 1 tengah hari semalam, bot dinaiki lima nelayan itu dipercayai karam di perairan Pulau Perhentian akibat dipukul ombak, ketika keadaan laut bergelora dan hujan lebat.
Di Putrajaya, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, aset strategik milik APMM digerakkan untuk mencari Saari yang masih hilang.
Katanya, aset APMM seperti kapal maritim KM AMAMAH, bot laut KILAT 28 dan pesawat udara AW139 dikerahkan ke lokasi kejadian bersama aset milik agensi kerajaan lain daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Taman Laut.
“Saya telah mengarahkan SAR dipertingkatkan bagi mengenal pasti lokasi seorang lagi mangsa yang belum ditemui,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kementeriannya akan terus memantau insiden itu serta menyelaras SAR secara bersepadu bersama agensi kerajaan terlibat.