
Bank digital mendapat sambutan yang menggalakan dengan lebih 40 hingga 50 pemohon menunjukkan minat terhadap lima lesen bank digital di negara ini.
Tidak memeranjatkan jika bilangan pemohon bertambah apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan garis panduannya yang lengkap, kata Gopal Kiran, pengarah penasihat risiko bagi perkhidmaatan kewangan di Deloitte Malaysia.
Bagaimanapun Gopal berkata, terdapat halangan yang akan dihadapi pemohon bank digital, iaitu daripada penggubalan strategi bank digital hingga kepada pelaksanaannya.

“(Terdapat) cabaran dalam memastikan kos pemerolehan pelanggan yang rendah,” katanya kepada FMT.
“Dengan jumlah bank tradisional dan bank digital yang banyak, pelanggan mempunyai pelbagai rakan perbankan untuk dipilih.
“Menyediakan solusi digital yang menjimatkan kos kepada golongan tidak mendapat dan tidak layak mendapat perkhidmatan (bank) merupakan cabaran kerana ramai (orang Malaysia) tinggal di kawasan luar bandar, termasuk 1/3 di Sabah dan Sarawak.”
Selain mengenal pasti rakan kongsi yang mampu menyediakan asas pelanggan dan rangkaian pengedaran yang kukuh, Gopal berkata, pemohon juga harus memahami dan menimbang untuk melabur dalam perkhidmatan awan dengan bekerjasama dengan pemain yang tepat bagi memastikan kos teknologi kekal rendah.
Laporan bahawa Singapura meluluskan empat permohonan bank digital bulan ini menambah tekanan ke atas Malaysia supaya mengeluarkan lesen bank digitalnya sendiri, terutamanya dengan berita itu dilaporkan beberapa hari selepas BNM mengumumkan bahawa ia kini di peringkat terakhir untuk mengeluarkan kerangka perbankan digital.
Keperluan teras bank digital bagi BNM adalah untuk meningkatkan keterangkuman kewangan. Langkah memperkenalkan bank digital adalah bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pekerja ekonomi gig dan mereka yang berada di peringkat terbawah B40 mengatasi cabaran yang dihadapi dalam mendapatkan bantuan kewangan melalui bank tradisional, seperti proses yang memakan masa dan menjemukan untuk mendapatkan pinjaman.

“Jika bank digital merancang menawarkan produk dan perkhidmatan kepada mereka yang tidak mendapat perkhidmatan daripada institusi kewangan sedia ada, ia perlu mengetahui kenapa bank sedia ada tidak memberi perkhidmatan kepada segmen pelanggan ini,” kata Adrian Lee, ketua perkhidmatan kewangan dari KPMG Malaysia.
“Pelanggan sentiasa ditolak institusi kewangan sedia ada disebabkan risiko kredit yang lebih tinggi, yang bermakna pelanggan tidak membayar balik pinjaman.
“Justeru, jika senarai pinjaman bank digital hanya terdiri daripada pelanggan yang ‘tidak layak’, kita boleh menjangkakan sebahagian pinjaman mereka akan gagal dibayar dan ia akan menyebabkan bank bergelut untuk bertahan.”
Lee berkata,”halangan lain yang menarik” yang perlu dihadapi bank digital adalah untuk membina kepercayaan dalam kalangan rumah dan perniagaan, terutamanya syarikat yang merancang untuk memasuki perbankan digital tidak pernah menyediakan perkhidmatan kewangan sebelum ini.
Selain syarikat gergasi telekomunikasi Axiata, pemain besar lain yang menunjukkan minat terhadap lesen perbankan digital adalah syarikat e-panggilan Grab dan syarikat permainan Razer.
Grab dan Razer juga memohon lesen perbankan digital di Singapura, dengan Grab merupakan antara empat pemohon yang berjaya.
Syarikat konglomerat Sunway Bhd, firma hartanah Paramount Corp, syarikat pemula yang berpangkalan di Amerika Syarikat MoneyLion Inc dan firma teknologi Green Packet Bhd turut dilaporkan berminat memperolehi lesen perbankan digital di Malaysia.