
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Muhamad Munir Bani, berkata baginda berkenan mengabadikan nama tokoh itu bagi mengenang jasa dan bakti Ungku Aziz dalam bidang pendidikan serta ekonomi Melayu semasa hayatnya.
“Pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz bertepatan kerana jalan (tersebut) adalah pintu masuk utama ke pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, dan Universiti MAHSA.
“Baginda juga berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda, sekaligus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook @Selangor Royal Office.
Pertukaran nama jalan itu akan dilakukan dalam masa terdekat, katanya.
Munir berkata, Ungku Aziz pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari 1952 hingga 1961, seterusnya menjadi dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya (Kuala Lumpur) dari 1962 hingga 1965.
Jalan Universiti sepanjang 3.2km dan dibina pada 1960 antara jalan utama menghubungkan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Ungku Aziz meninggal dunia di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 15 Dis lalu.