301 ditahan ingkar PKP, tak amal penjarakan fizikal kesalahan tertinggi

301 ditahan ingkar PKP, tak amal penjarakan fizikal kesalahan tertinggi

Daripada jumlah itu, 298 dikompaun dan tiga direman.

Seramai 149 orang ditahan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal semalam.
PETALING JAYA:
Polis menahan 301 individu atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam, dengan 149 kes kegagalan mematuhi penjarakan fizikal mendahului kesalahan lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan berkata, 298 orang dikompaun dan tiga lagi direman.

Selain gagal mematuhi penjarakan fizikal, katanya, kesalahan lain termasuk tidak memakai pelitup muka (77), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti pusat hiburan (2) dan lain-lain (10).

Beliau berkata, 31 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong turut ditahan, selain 6 kenderaan dirampas menerusi 107 sekatan jalan di seluruh negara semalam.

Ismail berkata, seramai 94,967 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam menjalani kuarantin wajib di 74 hotel dan 17 institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,362 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 87,065 individu telah dibenarkan pulang.”

Katanya, mereka pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.