Tiada sijil kahwin ibu bapa, pelajar perlu tunjuk SD untuk daftar sekolah

Tiada sijil kahwin ibu bapa, pelajar perlu tunjuk SD untuk daftar sekolah

ADUN Rajiv Rishyakaran kata proses pendaftaran pelajar mudah harus dijadikan keutamaan.

ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar berusia 12 tahun tidak dapat berdaftar untuk Tingkatan 1 kerana gagal mengemukakan sijil perkahwinan ibu bapanya.

Pelajar itu dimaklumkan beliau akan dibenarkan mendaftar jika dapat mengemukakan akuan berkanun (SD), kata ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Rajiv menjelaskan, beberapa pasangan terutama dari golongan berpendapatan rendah hanya mengadakan majlis perkahwinan mengikut adat.

“Amalan ini masih biasa dilakukan di kawasan perumahan kos rendah, dengan pasangan terbabit sekadar melakukan majlis perkahwinan mengikut adat di kuil kecil,” katanya kepada FMT.

“Tetapi kenapa anak ini pula ‘dihukum’ sedangkan sijil kelahirannya tertera nama ibu bapanya, malah pelajar itu juga sudah menamatkan pendidikan di sekolah rendah?”

Rajiv berkata ibu bapa pelajar terbabit menemuinya semalam di pusat perkhidmatannya semalam kerana bimbang masa depan pendidikan anak mereka.

Tambahnya, selepas memeriksa dengan sekolah terbabit, ibu bapa berkenaan dimaklumkan mesti menyerahkan SD sekiranya tiada sijil perkahwinan.

Beliau kemudiannya membawa pelajar itu dan ibu bapanya untuk mendapatkan satu SD sebagai bukti bahawa pasangan itu memang hidup bersama dan menjaga kanak-kanak itu.

“Apa kaitan pendidikan kanak-kanak itu dengan perkahwinan ibu bapanya? Nasib baik mereka meminta bantuan dan SD berjaya dibuat.

“Malangnya, ada keluarga miskin mungkin tidak melakukan sedemikian seterusnya menjejaskan persekolah anak terbabit,” katanya.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan menjadikan syarat penyerahan sijil perkahwinan sebagai pilihan dan memudahkan proses pendaftaran, kerana tiada sesiapa pun patut tercicir dalam pendidikan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.