Sumbangan lepasi sasaran, Syed Saddiq tunai janji botakkan kepala

Sumbangan lepasi sasaran, Syed Saddiq tunai janji botakkan kepala

Bekas menteri itu berjaya mengumpul RM383,000 dalam lima hari untuk kempen #1keluarga1laptop bagi Parlimen Muar.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengotakan janjinya untuk membotakkan kepala menerusi siaran langsung di sebuah rancangan televisyen malam ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunaikan nazar untuk membotakkan kepalanya apabila sasaran sumbangan sebanyak RM200,000 bagi membeli komputer riba buat pelajar di kawasan Parlimennya tercapai.

Lebih menarik, sesi mencukur kepala ahli politik muda itu disiarkan secara langsung di sebuah rancangan televisyen tempatan dan dilakukan sendiri oleh ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

“Bismilahirrahmanirahim, berjuanglah anakku demi rakyat,” demikian lafaz Sharifah Mahani sebaik memulakan cukuran kepala anaknya.

Dalam siaran itu juga, Syed Saddiq menceritakan pengalaman rambutnya digunting ibunya sejak berusia enam tahun.

Sesi itu kemudian diambil alih seorang tukang gunting profesional bagi melengkapkan cukuran rambutnya sehingga botak.

Sebelum ini, bekas menteri belia dan sukan itu melancarkan kempen #1keluarga1laptop dengan matlamat setiap keluarga di Parlimen Muar memiliki sebuah komputer riba untuk kegunaan anak.

Beliau menyasarkan 500 keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah yang mempunyai anak melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Kempen itu berjaya mengumpulkan RM383,000 dalam tempoh lima hari.

“Setakat ini, 120 keluarga di Parlimen Muar telah menerima komputer riba tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.