Pemuda UMNO lapor polis dakwaan keluarga bekas gabenor BNM terima dana 1MDB

Pemuda UMNO lapor polis dakwaan keluarga bekas gabenor BNM terima dana 1MDB

Polis dan SPRM digesa memulakan siasatan segera dengan memanggil Zeti Aziz serta keluarganya.

Shahrul Nasrun Kamaruddin (dua dari kanan) menunjukkan laporan yang dibuat di IPD Dang Wangi hari ini.
KUALA LUMPUR:
Pemuda UMNO membuat laporan polis terhadap dakwaan keluarga bekas gabenor Bank Negara (BNM), Zeti Aziz, pernah menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho.

Exco Pemuda UMNO, Shahrul Nasrun Kamaruddin, berharap polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan segera dengan memanggil Zeti serta keluarganya.

“Saya sebagai rakyat yang cintakan negara mendesak satu laporan terperinci tiada satu pihak pun, termasuk bekas pemegang jawatan tertinggi dalam mana-mana institusi kewangan yang mempunyai penglibatan dalam skandal 1MDB, diberikan perlindungan dan tidak dihadapkan ke muka pengadilan atas apa jua sebab.

“Rakyat Malaysia memerlukan kebenaran dalam usaha kita membersihkan semula nama negara tercinta ini di mata dunia,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Baru-baru ini, MalaysiaToday, yang dikendalikan blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa sesetengah ahli keluarga Zeti, termasuk suami dan anaknya menerima dana lebih RM100 juta daripada Low, atau Jho Low, dalang skandal 1MDB.

Menurut catatan blog itu, ahli keluarga Zeti didakwa membuat akuan berkanun (SD), di mana mereka didakwa mengaku menerima wang berjuta dalam akaun bank Singapura yang datang daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan Jho Low.

FMT belum dapat mengesahkan kesahihan SD itu.

Hari ini, Shahrul berkata, pendedahan itu turut menimbulkan keraguan terhadap pembabitan suami Zeti, Tawfiq Ayman, dan dua anak mereka, Alif Ayman serta Abdul Aziz.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan transaksi membabitkan keluarga Zeti, serta jika ia ada kaitan dengan dana 1MDB dan Jho Low.

Katanya, Zeti tidak patut mendiamkan diri, sebaliknya perlu menafikan dakwaan itu, jika ia tidak benar.

Shahrul turut menggesa Zeti direhatkan daripada jawatan pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) sehingga siasatan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.