Masih ada ruang untuk diperbaiki, kata kesatuan

Masih ada ruang untuk diperbaiki, kata kesatuan

Pindaan Akta Perhubungan Perusahaan tetap bawa impak positif untuk pekerja, pastikan perlindungan lebih baik tuntut hak yang dinafikan.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyuarakan sedikit kekecewaan terhadap pindaan yang bakal dikuat kuasakan dalam Akta Perhubungan Perindustrian mulai 1 Jan ini berikutan sebahagian pandangan diberikan berhubungnya tidak diterima pakai.

Wakil MTUC memberitahu FMT bagaimanapun mengakui pindaan yang akan dilaksanakan tidak dinafikan mendatangkan impak positif terhadap hak pekerja.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini berkata pindaan itu akan membenarkan pekerja mendapat perlindungan lebih baik sekiranya merasakan hak mereka dinafikan.

A Sivananthan, seorang ahli majlis agung MTUC yang terlibat dalam proses pindaan, berkata beliau berharap kerajaan mengambil “pendekatan yang lebih progresif dan holistik” terhadap perubahan yang ingin dilakukannya.

Beliau memuji sebahagian aspek pindaan, contohnya peruntukan yang membenarkan waris terdekat meneruskan prosiding undang-undang dan menerima pampasan jika pihak yang menuntut, khususnya suami atau isteri meninggal dunia ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, banyak cadangan utama yang ditolak mungkin memberi kesan terhadap pekerja, antaranya kegagalan untuk meminda Seksyen 30 (7) yang meletakkan had pampasan retrospektif selama enam bulan sebelum kes pertama kali dirujuk ke mahkamah.

Selain itu, dengan membenarkan pekerja diwakili sesiapa saja pilihannya, kecuali bagi peguam, boleh menyebabkan segelintir pihak mengambil kesempatan mengaut untung hasil isu perbalahan pekerja.

Setakat ini, hanya ahli kepada persatuan sekerja atau kumpulan pekerja yang berdaftar layak mewakili penuntut di mahkamah.

Timbalan Presiden MTUC juga meluahkan pandangan sama dan menyuarakan kekecewaan apabila tidak semua cadangan pindaan diterima.

Bagaimanapun, katanya, perubahan yang dilakukan tetap “dinantikan pekerja dan kesatuan sekerja” kerana mampu menambah baik hubungan antara industri, meningkatkan produktiviti dan merapatkan undang-undang Malaysia dengan tahap antarabangsa.

“Perubahan terhadap Akta Perhubungan Perusahaan akan meningkatkan daya tawar dan menambah baik perlindungan terhadap hak pekerja dalam negara dan perkembangan yang positif ini akan tercermin dalam ekonomi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.