
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri, dalam satu kenyataan berkata kerja pembaikan paip dijangka mengambil masa 30 jam dan akan siap sepenuhnya pada 6 pagi esok.
Setakat 4 petang tadi, kerja-kerja pembaikan paip tersebut telah mencapai 54% siap, sejak dimulakan pada 12:30 tengah malam tadi.
Difahamkan, kerja-kerja pembaikan yang sedang dilaksanakan adalah pengalihan sementara paip bersaiz 1000mm, yang akan diletakkan di bahu jalan Lebuhraya SPRINT untuk menyegerakan pengagihan bekalan air kepada para pengguna yang terjejas.
Lori tangki air sedang digerakkan ke kawasan-kawasan terlibat bagi membantu pengguna yang terjejas. Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air alternatif melalui tangki statik yang diletakkan di dua Pusat Khidmat Setempat (PKS).
Dalam pada itu, para pengguna dinasihatkan untuk mematuhi peraturan pelaksanaan perintah kawalan bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan PKS.