
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata operasi mengesan kanak-kanak itu sejak petang semalam, turut bertumpu di kawasan perangkap sampah yang terletak kira-kira 1km dari lokasi kejadian.
Beliau berkata operasi bagaimanapun terpaksa dihentikan pada pukul 8.10 malam tadi disebabkan persekitaran kawasan yang gelap dan arus deras.
“Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang di sekitar rumahnya di Lorong Ikan Jelawat 8 ketika bermain, sebelum dihanyutkan ke longkang besar dengan lebar kira-kira 10m dan kedalaman air kira-kira 1m,” katanya kepada Bernama semalam.
Norazam berkata usaha mencari akan bersambung pagi ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kesemasan pada pukul 5.50 petang semalam daripada keluarga mangsa sebelum menggerakkan dua jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.