
Ketua Wanita Aiman Athirah di konvensyen nasional sayap parti Islam itu di Melaka hari ini menggesa PH segera melakukan rombakan merangkumi komposisi gabungan, calon wakil rakyat, dan dasar bersama bagi mendapatkan kembali kepercayaan pengundi.
“Berdasarkan kepada dinamisma politik semasa dan tuntutan awam di luar sana, Wanita Amanah berpandangan bahawa PH harus segera melakukan penjenamaan semula,” katanya.
Tegasnya, mereka perlu lebih cermat dalam hal pemilihan calon pilihan raya, kerana “PH harus tampilkan kepimpinan saf baharu dengan imej yang lebih segar dan tanpa dibelenggu beban sejarah lampau”.
“Saf kepimpinan baharu dari generasi seterusnya ini harus telus dan terbuka menyuburkan wacana baharu, menggilap semua idealisme, dan mengolah restu masyarakat majoriti.”
Wanita Amanah juga menyeru PH merangka suatu dasar dan manifesto yang dipersetujui bersama dan boleh “dipertahankan”.
“Prinsip dan manifesto itu harus siap untuk dipertahankan tanpa ada unsur apologetik kerana kita berhadapan dengan pelbagai segmen pengundi dan penyokong masing-masing.”
Berkenaan persiapan Amanah pula, Aiman berkata parti itu akan melakukan tapisan ketat sebelum watikah diberikan kepada calon yang layak, bagi mengelakkan peristiwa melompat parti berulang.
“Kita tak mahu lagi ada peristiwa lompat si katak lompat berlaku antara parti dan komponen,” katanya.
Beliau juga berkata sayapnya sudah mengenal pasti lebih ramai calon yang berpotensi untuk PRU-15.