Disaman RM3.8 juta, Badan Peguam Malaysia runding penyelesaian luar mahkamah

Disaman RM3.8 juta, Badan Peguam Malaysia runding penyelesaian luar mahkamah

Mahkamah tinggi kekalkan tarikh perbicaraan pada Januari sementara rundingan memperolehi penyelesaian dicapai

Lexisnexis Malaysia mendakwa Badan Peguam gagal membentangkan perjanjian itu pada mesyuarat agung tahunannya Mac lalu. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Penerbit laporan perundangan dan Badan Peguam Malaysia sedang menerokai kemungkinan menyelesaikan di luar mahkamah berhubung saman RM3.8 juta bagi pelanggaran kontrak.

Peguam Austen Pereira yang mewakili Lexisnexis Malaysia berkata, kedua-dua pihak menemui hakim Mohd Firuz Jaffril untuk memaklumkan kemungkinan mencapai penyelesaian menggunakan pengantara.

“Beliau mengambil maklum perkara itu tetapi mahu kami kembali pada 28 Dis untuk memberitahu perkembangan terkini,” katanya selepas pengurusan kes berkenaan.

Austen berkata, Firuz mengekalkan tarikh perbicaraan kes saman itu selama lima hari mulai 11 Jan yang ditetapkan sebelum ini.

Peguam Lai Wai Fong dan Abhilaash Subramaniam hadir mewakili Badan Peguam.

Dalam saman difailkan September tahun lalu, Lexisnexis mendakwa Badan Peguam gagal menunaikan perjanjian yang membolehkan golongan peguam mengakses laporan perundangan secara dalam talian.

Badan Peguam sepatutnya membuat bayaran RM1.3 juta setahun kepada Lexisnexis Malaysia selama lima tahun, untuk memperoleh kemudahan itu.

Lexisnexis Malaysia mendakwa Badan Peguam gagal membentangkan perjanjian itu pada mesyuarat agung tahunannya Mac lalu.

Sebaliknya, Badan Peguam didakwa menamatkan kontrak itu pada bulan berikutnya, sekali gus melanggar perjanjiannya dengan Lexisnexis.

Lexisnexis menuntut ganti rugi am RM3.5 juta dan ganti rugi khas RM237,000 daripada Badan Peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.