Sehari selepas perkahwinan pandu lalu anaknya, Ku Nan dipenjara setahun, denda RM2 juta kerana rasuah

Sehari selepas perkahwinan pandu lalu anaknya, Ku Nan dipenjara setahun, denda RM2 juta kerana rasuah

Ahli Parlimen Putrajaya itu kelihatan tenang menerima hukuman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tengku Adnan Tengku Mansor. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sehari selepas meraikan perkahwinan anaknya dalam majlis ‘pandu lalu’ di Istana Kehakiman Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor dihukum penjara setahun dan denda RM2 juta setelah didapati bersalah menerima rasuah daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong, empat tahun lalu.

Tengku Adnan kelihatan tenang dalam menerima hukuman itu. Beliau dijangka merayu keputusan dan hukuman kerana jika tidak, boleh dilucutkan sebagai Ahli Parlimen Putrajaya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar hujah peguambela Tengku Adnan, Tan Hock Chuan.

Beliau didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada Chai. Mahkamah menolak alasan Tengku Adnan bahawa wang itu adalah sebahagian daripada dana untuk membiayai kempen UMNO pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungei Besar pada 2016.

Semalam, kira-kira 10,000 jemputan hadir memeriahkan majlis perkahwinan anak lelaki Tengku Adnan dengan konsep pandu lalu di Dataran Putrajaya, Presint 3.

Tetamu yang hadir melalui jalan Dataran Putrajaya pasangan pengantin Tengku Muhammed Hafiz dan Oceane Cyril Alagia melambaikan tangan dari pentas di depan Istana Kehakiman dan kemudian mengambil juadah makanan yang disediakan di khemah khas secara pandu lalu.

Sementara itu, peguam A Srimurugan berkata, kerusi Ku Nan di Putrajaya hanya akan dikosongkan jika dia gagal mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari dari hari ini.

“Artikel 48 (4) (b) perlembagaan jelas menyatakan tertuduh kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga rayuannya selesai di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, Srimurugan berkata tertuduh berisiko hilang peluang untuk bertanding dalam pilihan raya atau pilihan raya umum jika Mahkamah Rayuan tidak mendengar rayuannya.

“Ini kerana statusnya akan kekal sebagai orang yang disabitkan kesalahan kecuali Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.