Inkues putuskan polis cuai punca kematian Thanabalan

Inkues putuskan polis cuai punca kematian Thanabalan

Koroner Rofiah Mohamad berkata Thanabalan kemungkinan meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam atau dalam perjalanan ke hospital.

Thanabalan Subramaniam didapati menghidap leptospirosis akibat terdedah kepada air kencing tikus. Keadaannya semakin buruk disebabkan masalah jantung.
PETALING JAYA:
Mahkamah koroner Shah Alam memutuskan polis bertanggungjawab atas kematian Thanabalan Subramaniam, 38, ketika dalam tahanan pada 2018.

Peguam M Visvanathan memberitahu FMT, koroner memutuskan kecuaian polis membawa kepada kematian Thanabalan.

“Beliau berkata, forensik mengesahkan Thanabalan mempunyai ‘myocardial bridging’ di jantungnya yang secara sendirinya tidak akan menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam penghakimannya, Koroner Rofiah Mohamad menambah, tahanan berkenaan berkemungkinan meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam atau ketika dalam perjalanan ke hospital kerana sudah tidak bernyawa apabila tiba di situ.

Visvanathan berkata, Thanabalan didapati menghidap leptospirosis akibat terdedah dengan air kencing tikus. Menurutnya, keadaannya bertambah buruk akibat keadaan jantungnya.

“Polis enggan menghantarnya ke hospital sehingga dua hari walaupun mengetahui dia tidak sihat,” katanya.

Inkues kematiannya bermula pada 2019. Thanabalan meninggal dunia pada 17 April 17 2018, beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-14.

Thanabalan yang dilaporkan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) atau Sosma, meninggal dunia di Hospital Shah Alam selepas dikejarkan ke situ dari ibu pejabat polis Shah Alam, tempat dia ditahan sejak 20 hari sebelumnya.

Kematiannya mengundang tanda tanya daripada kumpulan masyarakat sivil terhadap komitmen polis menamatkan kes kematian tahanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.