
Presidennya, Salim Bashir berkata, kumpulan tahanan itu perlu berdepan penderaan psikologi bermula daripada mahkamah menjatuhkan hukuman mati sehingga ia dilaksanakan, yang kadang-kadang mengambil masa lebih sedekad.
Dianggarkan lebih 1,000 tahanan sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati di Malaysia.
“Diharapkan kerajaan akan buat keputusan tidak lama lagi untuk menghentikan penantian lama mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, terdapat moratorium ke atas pelaksanaan hukuman gantung sejak 2018, sementara menunggu keputusan pemansuhan hukuman mati.
Salim berkata, ia juga mengambil masa untuk tahanan menggunakan semua kaedah membuat rayuan di mahkamah dan permohonan meringankan hukuman.
“Sebelum ini, hukuman mati dilaksanakan selepas penantian lama apabila banduan sudah berumur serta sakit, dan ini dianggap kejam.”

Beliau berkata demikian selepas seorang pendandan rambut yang disabitkan bersalah mengedar dadah, Chu Tak Fai, menghabiskan 27 tahun di dalam penjara, termasuk 12 tahun menanti pelaksanaan hukuman mati, sebelum dibebaskan akhirnya.
Warganegara Hong Kong berusia 50 tahun itu pulang ke tanah airnya minggu lalu, selepas Sultan Kedah memberikan pengampunan ketiga dan terakhir kepadanya.
Hukuman mati terhadap Chu digantikan penjara seumur hidup pada 2006 dan kemudian digantikan hukuman penjara 20 tahun.
Hukuman penjara itu bermula 2016. Pada Mac tahun ini, sultan memberikan kebebasan kepadanya.
Rang undang-undang (RUU) memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan serius dijadualkan untuk dibentang pada sidang Parlimen Mac lalu. Namun, ia ditangguhkan akibat pertukaran kerajaan.
RUU itu mencadangkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dikenakan, selepas tertuduh dijatuhkan hukuman atas kesalahan seperti pembunuhan dan pengedaran dadah.
Sementara itu, kumpulan hak asasi, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT), berkata ramai yang tidak bernasib baik seperti Chu dan tiada siapa mampu menanggung kesakitan serta penderitaan yang dilaluinya ketika berada dalam pengasingan untuk pelaksanaan hukuman mati.
“Chu akan kekal tidak produktif di penjara ketika dia baru mencapai kedewasaan,” kata Pengerusinya, M Visvanathan.
Katanya, tahanan jangka panjang perlu dibenarkan bergaul dengan masyarakat setempat, seperti pada mulanya bekerja dengan kakitangan penjara dan kemudian bekerja di luar.
“Pembaharuan penjara kita sudah lama tertangguh dan sekarang masanya untuk mengambil langkah progresif.”