
Beliau berkata Nuri sudah digunakan 52 tahun, dan kini usang kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan kilang.
“Pihak kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi, dan membuat TUDM menghadapi kesulitan untuk meneruskan pengoperasian.
“Faktor usia dan cabaran daripada aspek senggaraan secara langsung telah mengakibatkan kos pesawat semakin tinggi dan ‘downtime’ pesawat semakin panjang, apabila berlaku kerosakan,” katanya.
Beliau berkata bagi penggantian Nuri, tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter telah dibuka sejak 15 Okt lepas dan ditutup semalam (17 Dis).
Ackbal berkata proses selanjutnya adalah untuk menilai tender, sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa TUDM akan memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircarft (FLIT/LCA), dalam tempoh tiga tahun ini.
Beliau berkata seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pihaknya merancang untuk memperoleh sebanyak 36 pesawat (FLIT/LCA) secara berfasa, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan.
“Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.
“TUDM telah memohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.