Isu KWSP, moratorium ‘boleh runding’, Ahmad Maslan umum akan sokong Belanjawan

Isu KWSP, moratorium ‘boleh runding’, Ahmad Maslan umum akan sokong Belanjawan

Ahmad Maslan mahu ianya diluluskan di sebalik rungutan UMNO terhadap kemudahan mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP dan moratorium pinjaman bank.

Ahmad Maslan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, mengumumkan beliau akan menyokong Belanjawan 2021 di sebalik rungutan partinya, UMNO, terhadap kemudahan mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP dan moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman bank.

Katanya, isu berkenaan “masih boleh dirunding dengan pihak-pihak yang berkaitan jika ada syarat-syarat yang sukar”.

“Ya, saya sokong Belanjawan 2021 ini dan mengundi agar ianya diluluskan,” katanya.

Undian bagi Belanjawan 2021 pada bacaan ketiga dijangka berlangsung hari ini atau esok, memandangkan di peringkat jawatankuasa berbaki dua kementerian lagi.

Semalam, veteran UMNO, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dilapor berkata tidak akan mengundi.

Mahathir tolak

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menolak peruntukan bagi Kementerian Pendidikan.

Mahathir berkata, kebimbangan ditimbulkan rakyat yang berpendapat “dasar pelajaran atau pun pendidikan negara sudah tidak sesuai dengan peralihan zaman”.

“Kita orang Islam memang wajib mengetahui agama Islam yang kita anuti, tetapi kita juga wajib sediakan diri untuk dunia di waktu mana kita perlu bekerja untuk membiayai kehidupan kita,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata, ilmu Sains dan Matematik “tidak statik”, dan ketika hasil kajian subjek itu tersedia dalam bahasa Inggeris, terjemahan bahasa Melayu memerlukan penterjemah yang pakar dalam Sains dan fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Kita tidak ada penterjemah seperti ini,” kata Ahli Parlimen Bebas itu.

“Saya dapati tidak ada apa-apa cadangan dalam belanjawan untuk pendidikan ke arah ini, sebab itu saya tak dapat sokong peruntukan Kementerian Pendidikan bagi tahun 2021.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.