
Ini susulan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya terhadap penghakiman majoriti Mahkamah Rayuan yang mengarahkan kesnya dijalankan di Mahkamah Sesyen.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, rayuan itu dibenarkan selepas panel hakim membaca hujahan peguam Yong, manakala pendakwaan tidak membantah kes didengar di Mahkamah Tinggi.
“Kami mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan dan tarikh perbicaraan di Mahkamah Sesyen dikosongkan,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Mohd Zawawi Salleh dan Mary Lim Thian Suan.
Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai berkata, beliau diarahkan mengambil pendirian bahawa perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi kerana kedua-dua pihak “sudah mencapai persetujuan dalam sistem pertentangan.”
Tengku Maimun turut memerintahkan kes disebut dijalankan di Mahkamah Tinggi pada 21 Dis ini.
Perbicaraan sebelum ini ditetapkan tiga hari bermula minggu depan.
Yong yang juga ADUN Tronoh, hadir di mahkamah.
Pada 10 Feb lalu, panel Hakim Mahkamah Rayuan, Yaacob Md Sam dan Kamaludin Md Said menolak rayuan Yong atas alasan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila menolak permohonan Yong untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan, Rhodzariah Bujang yang memberikan penghakiman bertentangan berkata, dalam sistem keadilan jenayah pertentangan, mahkamah mesti menghormati keputusan dicapai pihak pembela dan pendakwa.
“Susulan itu, apabila pendakwa raya jelas menyatakan pendiriannya untuk membenarkan permohonan itu, mahkamah mesti menghormati keputusan berkenaan, melainkan ada sebab yang kukuh dan memaksanya dilakukan,” katanya.
Rhodzariah berkata, sesuatu perjanjian tidak sekadar berdasarkan sebaris kata-kata “tiada bantahan”, sebaliknya mengandungi pelbagai sebab.
Di luar mahkamah, peguam Rajpal Singh berkata, mahkamah tertinggi itu bersetuju dengan pandangan Rhodzariah yang juga sebahagian daripada alasan rayuan.
Rajpal yang hadir bersama Salim Bashir berkata, pembelaan mahu perbicaraan dilakukan di Mahkamah Tinggi kerana isu rumit bakal dibangkitkan seperti kebergantungan pendakwaan terhadap Akta Perlindungan Saksi.
“Kami akan mencabar akta itu sebagai melanggar Perlembagaan kerana pembelaan tidak boleh menyoal balas mangsa dan seorang lagi saksi utama,” katanya.
Rajpal berkata, undang-undang itu boleh digunakan dalam kes keselamatan, bukannya jenayah seksual.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di kediamannya di 52, Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya, di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.