
Beliau berkata, sementara menunggu keputusan penuh itu, sebagai tindakan segera, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam proses menjadikan latihan tambahan sebagai syarat kepada kelab dan pengendali penerbangan swasta dalam usaha memastikan keselamatan orang awam dan peserta industri penerbangan diutamakan setiap masa.
“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecekapan dalam kalangan peminat penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu beliau berkata, CAAM juga akan membuat kajian semula terhadap peraturan dan prosedur sedia ada untuk mengenal pasti sebarang kekurangan serta memperbaikinya bagi memastikan kemalangan sama tidak lagi berulang.
“Keselamatan orang ramai, termasuk peminat penerbangan swasta sentiasa menjadi keutamaan, tanpa menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan industri penerbangan.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai sekali lagi bahawa objektif utama penyiasatan adalah untuk menentukan keadaan dan penyebab kemalangan dengan tujuan melindungi nyawa dan mencegah kemalangan di masa depan.”
Beliau juga menegaskan penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak.
Nahas udara itu melibatkan dua helikopter jenis G2CA (9M-HCA and 9MHCB) yang dipercayai sedang menjalani latihan penerbangan ketika berlanggar di udara selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dengan setiap pesawat membawa dua orang.
Satu daripada helikopter itu terhempas dan meragut nyawa bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohamed Sabri Baharom, 56, dan ahli perniagaan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41.
Dua mangsa terselamat ialah bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Berhad Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi pesawat selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di padang sebuah sekolah di Taman Melawati.