
Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, titah dan teguran Sultan Perak jelas memperlihatkan baginda prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
“Sudah tentu baginda tidak mahu apa-apa konflik dan kemelut politik yang akan menjadikan Covid-19 lebih memberikan kesan kepada rakyat.
“Disebabkan itu, saya menjunjung kasih dan akan melaksanakan tugas untuk memastikan supaya seluruh lapisan pimpinan akan benar-benar dapat melaksanakan titah Tuanku,” katanya.
Sultan Perak pada istiadat mengangkat sumpah menteri besar di Istana Iskandariah pagi tadi berkata, pertukaran menteri besar buat kali ketiga dalam satu penggal bukan sesuatu yang membanggakan malah mencerminkan kegagalan ahli politik.
Sultan Perak mengingatkan ahli pollitik ketika ini “rakyat jelata terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19”.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari UMNO Khairul Shahril Mohamed, turut menyambut baik teguran dan saranan Sultan Perak, berharap ia dijadikan panduan dan peringatan semua pemimpin politik negeri.
“Saya ingin mohon maaf kepada semua rakyat negeri Perak dan penjawat awam negeri kerana situasi yang menimbulkan kegelisahan semua, tetapi syukur ia akhirnya selesai.
“Jadikan peristiwa ini (teguran Sultan Perak) sebagai kesedaran untuk bermuhasabah dan saya yakin kerajaan baharu akan fokuskan keutamaan ke arah kesejahteraan rakyat dan ketepikan permasalahan politik,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu berlapang dada menerima teguran Sultan Perak kerana cabaran utama kerajaan adalah dalam menangani pandemik Covid-19 dan memastikan ekonomi kembali pulih.
ADUN Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim pula berkata, nasihat Sultan Perak perlu diambil dari sudut positif.
“Apa yang berlaku adalah untuk kebaikan rakyat, pertukaran (menteri besar) dibuat secara demokrasi dan tak libatkan pertukaran pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata, apa diharapkan hubungan antara semua parti politik kerajaan akan berjalan baik dan usaha membantu serta menjaga kebajikan rakyat perlu diteruskan.