Peruntukan kontroversi JASA dipotong 50% kepada RM40.5 juta

Peruntukan kontroversi JASA dipotong 50% kepada RM40.5 juta

Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri berkata, peruntukan itu untuk 500 kakitangan kontrak JASA.

JASA menganjurkan sebuah program di Lembah Pantai pada April 2018. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan peruntukan kontroversi buat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) daripada RM85.5 juta kepada RM40.5 juta.

Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri berkata, peruntukan itu untuk 500 kakitangan kontrak JASA yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

“(Peranan) jabatan itu ialah mengukuhkan komuniti digital dan menggalakkan pemerkasaan masyarakat,” katanya pada permulaan perbahasan Belanjawan 2021 untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) berkata, JASA penting dalam masyarakat berbilang kaum.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian mempersoalkan manfaat kewujudan JASA, sedangkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilihat tidak menghormati sensitiviti kaum lain.

Sanusi dikritik atas kenyataannya berhubung perobohan sebuah kuil Hindu di Kuala Kedah baru-baru ini.

Zawawi berkata, topik itu boleh dibincangkan di luar dewan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.