
Perdana menteri berkata, ia terdiri daripada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Nasional, Pasukan Petugas Khas TVET, Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan, Pasukan Petugas Khas “Real Economy” dan Pasukan Petugas Khas “Deeptech & Future Skills”.
“Pasukan petugas khas ini bertanggungjawab melaporkan status pelaksanaan di bawah kluster masing-masing kepada pasukan petugas peringkat tinggi secara bulanan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.
NEC yang ditubuhkan untuk menangani isu pengangguran dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengadakan mesyuarat pertamanya yang dipengerusikan Muhyiddin hari ini.
Majlis itu turut dianggotai menteri berkaitan, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.
“Majlis yang dianggotai menteri berkaitan itu akan turut disertai wakil sektor swasta dan industri yang akan diumumkan kelak. NEC akan bermesyuarat sekerap mungkin mengikut keperluan semasa.
“NEC memainkan peranan penting bukan saja meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan, bahkan untuk menangani isu lain berkaitan seperti kekurangan pekerja di sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan dan penggajian.”
Sejajar penubuhan NEC, rakyat terjejas atau sedang mencari pekerjaan boleh mendaftar di portal sehenti MyFutureJobs.