MyCEB harap ‘Kempen Bertemu di Malaysia’ rangsang sektor pelancongan

MyCEB harap ‘Kempen Bertemu di Malaysia’ rangsang sektor pelancongan

CEO MyCEB berkata 'Kempen Bertemu di Malaysia' akan menghidupkan semula sektor pelancongan dan mewujudkan kesan pengganda yang kuat.

‘Kempen Bertemu di Malaysia’ bertujuan menyokong industri konvensyen dan sektor pameran yang terjejas pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Dengan sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ditarik balik secara beransur-ansur dan negara bersedia untuk membuka semula ekonomi, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) yakin “Kempen Bertemu di Malaysia” akan berperanan sebagai perangsang penting bagi industri pelancongan.

Berjalan sehingga Dis 2021, “Kempen Bertemu di Malaysia” bertujuan menyokong industri acara perniagaan dan pemegang taruh yang terjejas pandemik Covid-19 dan merupakan tonggak utama di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan bernilai RM200 juta yang dilancarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi tahun 2021.

“Apabila ekonomi mula memulih, konvensyen dan pameran akan sekali lagi menjadi tumpuan pemain industri untuk berdagang, membina rangkaian dan bertukar idea,” kata ketua pegawai eksekutif MyCEB Abdul Khani Daud kepada FMT.

“Sektor pelancongan adalah antara yang paling terjejas dengan pandemik dan kami yakin ‘Kempen Bertemu di Malaysia’ akan membantu menghidupkan semula sektor itu dan mewujudkan kesan pengganda yang kuat kepada pemegang taruh dalam industri ini.”

“Kempen Bertemu di Malaysia” merangkumi dua program, iaitu “Mari Bertemu Esok” dan “Mari Bertemu Di Sini”.

Ketua pegawai eksekutif MyCEB Abdul Khani Daud.

Bertujuan menggalakkan perancang di peringkat antarabangsa menganjurkan acara di Malaysia apabila sekatan pergerakan ditarik balik, inisiatif “Mari Bertemu Esok” menawarkan sokongan buat konvensyen tempatan-serantau atau antarabangsa, selain persidangan korporat domestik.

Ia menawarkan sebahagian tajaan sehingga RM152,500 bagi tujuan pemasaran kepada penganjur yang mengadakan pameran perdagangan, dan sebahagian tajaan bagi penyewaan dewan, sokongan di tapak dan penyampai juga disediakan.

Program “Mari Bertemu Di Sini” bertujuan memenuhi keperluan pasaran tempatan dan memberi sokongan kepada acara yang mempunyai sekurang-kurangnya 30 perwakilan .

Sokongan MyCEB muncul dalam bentuk subsidi atau perkhidmatan seperti lawatan ke bandar raya dan makan malam di restoran tempatan, dengan bantuan sehingga RM60,000 kepada pameran perdagangan tempatan.

MyCEB membantu negara menganjurkan lebih 1,255 acara dari 2010 hingga 2019 dengan anggaran impak mencecah RM10.5 bilion.

MyCEB menganjurkan dan menyokong 475 acara perniagaan dan menerima lebih 287,000 perwakilan tahun lalu, dengan anggaran impak ekonomi kira-kira RM4.3 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.