Kerajaan Sarawak iktiraf, pertahan hak milik tanah Melayu, kata Awang Tengah

Kerajaan Sarawak iktiraf, pertahan hak milik tanah Melayu, kata Awang Tengah

Tanah orang Melayu Sarawak diiktiraf dan dipertahankan sama seperti hak dan kepentingan kaum Bumiputera lain.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Awang Tengah Ali Hasan berkata, program pengukuran tanah merupakan usaha berterusan untuk memastikan semua tanah NCR dan juga kampung tradisional menerima surat pemilikan yang sah. (Gambar Benama)
KUCHING:
Hak pemilikan tanah orang Melayu Sarawak akan diiktiraf dan dipertahankan sama seperti hak dan kepentingan kaum Bumiputera yang lain ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Timbalan Ketua Menteri, Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, pengukuran dan pengeluaran surat hak milik tanah NCR dilaksanakan sejak 1960 melalui Operasi Penyelesaian dan Program Pengukuran Kampung Tradisional, selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tanah Negeri.

“Usaha ini diteruskan dengan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada 2010, yang mencapai kejayaan cemerlang dari segi kepantasan dan kecekapannya,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Wisma Melayu Sarawak.

Menurutnya, program pengukuran tanah merupakan usaha berterusan untuk memastikan semua tanah NCR dan juga kampung tradisional di negeri ini menerima surat pemilikan yang sah.

“Program pengukuran kampung tradisional ini merupakan program berterusan yang menjadi agenda utama kerajaan negeri merangkumi semua kaum Bumiputera yang mempunyai tuntutan sah dan mengikut perundangan,” katanya.

Beliau yang juga menteri pembangunan bandar dan sumber asli II Sarawak berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program pembesaran kampung (SPK) dan skim petempatan semula (SPS) di sekitar bandar, pinggir bandar dan kampung yang agak padat dan bilangan penduduk yang semakin bertambah.

Menurutnya, program tersebut akan ditambah baik dari segi spesifikasinya seperti lot yang sedia ditimbus dan ditembok, kemudahan jalan raya berturap serta parit konkrit dengan bayaran premium tidak lebih daripada RM2,500.00 setiap lot.

“Kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan bekalan air terawat juga disediakan.

“Melalui Suruhanjaya Pembangunan Perumahan Sarawak beberapa model pembangunan perumahan mampu milik juga dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, program pembaharuan kampung dan bandar seperti di Darul Hana dan Kemuyang, Sibu turut dilaksanakan dengan pelbagai kemudahan yang memenuhi kriteria bandar raya pintar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.