
Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengumumkan 106 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 96 orang yang membantah.
“Lapan belas lagi tidak hadir,” katanya selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong usul supaya peruntukan KPKT diputuskan menerusi undian belah bahagi.
KPKT diperuntukkan RM5.36 bilion dalam Belanjawan 2021, iaitu RM3.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM2.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Ini menjadikan peruntukan untuk 19 kementerian diluluskan Dewan Rakyat di peringkat jawatankuasa setakat ini.
Kelulusan itu bermakna geran “one-off” berjumlah RM8.6 juta untuk Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang dibantah pembangkang turut diluluskan.
Terdahulu, pembangkang mengusulkan geran RM8.6 juta itu dipotong, tetapi ia ditolak Dewan Rakyat melalui undian suara majoriti.
“Yang bersetuju untuk dipotong kata setuju, yang tidak setuju kata tidak. Lebih suara tidak bersetuju untuk dipotong,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon.
Majoriti Ahli Parlimen mahu peruntukan itu dikekalkan demi manfaat rakyat, khususnya B40 untuk mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.
Usul memotong geran itu dibawakan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Wilfred Madius Tangau (Warisan-Tuaran).
Chang ketika membahaskan usul itu mendakwa geran itu bermotifkan politik dan bertentangan tugas ahli majlis (pihak berkuasa tempatan).
“Peruntukan ini membazir, semua lantikan (PeKT) akan diberi gaji RM2,000 sebulan dan RM10,000 diperuntukkan setahun, malah peranan PeKT akan bertindih dengan peranan ahli majlis.”
Katanya, 157 calon PeKT dilantik pada 26 Sept lalu.
“Daripada 157 calon PekT yang dilantik itu, 101 adalah bekas ahli PKR yang merupakan konco kepada menteri yang telah mengkhianati parti sendiri dalam Langkah Sheraton,” dakwanya sambil menambah peruntukan itu boleh disalurkan kepada petugas barisan depan.
Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata, beliau menyokong PeKT yang ditubuhkan hasil daripada pernacangan Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan pada 2019 untuk memastikan kehidupan di bandar yang harmoni.
“KIta selalu dengar rungutan bagaimana kalau duduk di bandar, kita tak kenal satu sama lain, kalau di kampung lain, jadi suasana di kampung sukar dilaksanakan di bandar.
“Dengan adanya PeKT, kita boleh wujud kembali suasana seperti kampung (hidup harmoni) di bandar dan kita kenal satu sama lain.
“Di kampung kita ada ketua kampung, di bandar tidak ada. Jadi, PeKT boleh menjadi perantara antara komuniti dengan sektor awam, swasta, NGO dan yang lain.”
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika membidas pembangkang membawa usul mengurangkan geran itu, berkata mereka perlu menyelidik terlebih dahulu program yang diperkenalkan kerajaan.
“Saya berbangga dengan adanya program ini, projek perumahan rakyat (PPR) Kota Bharu di Kelantan mampu menggerakkan 40% daripada komuniti PPR Kota Bharu itu berkecimpung dalam program kitar semula.
“Jadi, kalaulah kita menolak (geran RM8.6 juta) sama seperti menafikan hak golongan B40 untuk mendapatkan hak mereka. Kalau pembangkang tolak usul ini, golongan B40 akan tolak pembangkang.”