Faizal tolak dakwaan Najib berkait penjualan ladang sawit milik Perak

Faizal tolak dakwaan Najib berkait penjualan ladang sawit milik Perak

Ia susulan dakwaan bekas perdana menteri itu berhubung penjualan sebuah ladang sawit seluas 15,000 hektar milik kerajaan Perak yang merupakan antara punca UMNO menarik balik sokongan terhadapnya.

Ahmad Faizal Azumu menepis dakwaan Najib Razak mengenai penjualan ladang sawit itu menerusi rundingan terus dengan berkata, 11 syarikat dipelawa membuat bidaan pada 2019.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu menolak dakwaan Najib Razak berhubung penjualan sebuah ladang sawit seluas 15,000ha milik kerajaan Perak antara alasan UMNO menarik balik sokongan terhadapnya sebagai menteri besar.

Najib pada 4 Dis lalu mendakwa penjualan PT Pinang Witmas Sejati di Palembang, Indonesia kepada sebuah syarikat di Singapura untuk 1/3 daripada nilainya antara punca Faizal gagal mendapat sokongan majoriti ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Jumaat lalu.

Bekas perdana menteri itu turut mendakwa ladang itu dijual menerusi rundingan terus tanpa tender dan mengulangi kenyataan bekas ADUN Slim, Mohd Khusairi Abdul Talib yang ladang itu bernilai RM1.03 bilion serta memberi keuntungan RM40 juta setiap tahun kepada kerajaan negeri sebelum pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, Faizal menolak dakwaan itu dengan berkata, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) mempelawa 11 syarikat tempatan dan asing membuat bidaan antara 15 Mei hingga 30 Sept 2019.

Katanya, antara syarikat itu ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), Genting Plantations Bhd, United Plantations Bhd, Sime Darby Plantation Bhd serta syarikat Indonesia – PT Genting Plantation Nusantara dan PT Bio Nusantara Teknologi.

Beliau berkata, sebuah firma jurunilai bebas melakukan penilaian sebanyak 4 kali sejak 2007, dengan dua penilaian terakhir ialah RM500 juta pada 2018 dan RM525 juta tahun ini.

Berdasarkan data PPPNP, Faizal berkata, ladang itu menyumbang dividen antara RM5.5 juta dan RM32 juta pada dekad lalu, dengan yang tertinggi berjumlah RM32.7 juta pada 2011.

Berhubung dakwaan ladang itu dijual kepada sebuah syarikat di Singapura, katanya, PPPNP menandatangani satu perjanjian dengan Taiko Plantations Pte Ltd (Taiko), syarikat “investment holding” milik penuh KLK yang berpangkalan di Perak, pada April 2020.

Mengenai dakwaan berhubung rayuan Khusairi supaya tidak menjual ladang itu ketika harga rendah minyak sawit, beliau berkata, cadangan menjual PT Pinang Witmas Sejati dibuat pada 2014 dan dibawa kepada kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan.

Katanya, antara alasan penjualan ladang itu termasuk kos penanaman semula yang tinggi dan ketidaktentuan dalam undang-undang serta dasar kerajaan Indonesia.

“Sehingga hari ini, ladang ini masih menjadi milik PPPNP kerana penjualan belum dimuktamadkan sehingga semua syarat ‘condition precedent’ dipatuhi, antaranya perjanjian usaha sama baru antara KLK dan PT Trimitra SumberBuana ditandatangani.

“Faktor penjualan bukan disebabkan harga minyak sawit, tetapi tempoh pajakan yang semakin pendek.”

Faizal meletak jawatan sebagai menteri besar selepas 48 ADUN tidak menyokong usul undi percaya terhadapnya di DUN Perak Jumaat lalu dan satu lagi berkecuali berbanding 10 ADUN yang menyokongnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.