
Setiausaha Che Abdullah Mat Nawi berkata pihaknya tidak akan membuat kritikan balas bagi mengelak keadaan menjadi tegang.
“Saya tidak mahu ulas dulu isu (kritikan UMNO Kelantan), takut lagi keruh keadaan,” katanya kepada FMT.
Namun, Che Abdullah sinis menggunakan isu ‘usul di Perak’ sebagai bukti PAS kadang kala lebih kuat menyokong UMNO berbanding kalangan penyokong parti itu sendiri.
“Sebagai contoh dalam krisis di Perak semua ADUN PAS menyokong ‘usul undi percaya’ yang dibawa oleh UMNO, sedangkan ADUN UMNO sendiri tidak menyokong usul yang dibawa oleh mereka,” katanya.
Kelmarin Setiausaha UMNO Kelantan Akbar Salim mempersoalkan komitmen PAS kepada kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) dan mengugut meletakkan calon UMNO semua kerusi di Kelantan pada PRU akan datang.
Beliau merujuk kepada laporan yang memetik Menteri Besar Ahmad Yakob sebagai berkata, PPBM tidak boleh disisihkan dalam perjuangan perpaduan Melayu.
Pegawai khas menteri besar Kelantan, Mohd Hushaimi Hussian, berkata UMNO negeri sepatutnya merujuk sumber rasmi pejabat MB sebelum membuat kenyataan mengejutkan itu.
“Elok-elok kita bermain dalam kolam, tiba-tiba nak terjun dalam ‘air car’ (air longkang). Perlu diingatkan, kita jangan terlalu gopoh khususnya dalam rangka memperkukuh MN yang dibina sebelum ini. Nak buat rujukan sekali pun rujuklah sumber berita rasmi parti.
“Kami yakin di peringkat akar umbi baik PAS, UMNO mahupun PPBM ingin melihat penyatuan orang Melayu dan Bumiputera ini terus berkekalan.
“Jangan kita terikut-ikut dengan beberapa kerat pimpinan parti yang ada agenda tersembunyi. Jom kita kita perkasakan MN dan pertahankan Kerajaan PN,” katanya.