
Ketua Polis Perlis, Surina Saad berkata, 22 suspek yang tamat tempoh reman disambung lagi hari ini, manakala 30 orang akan direman esok di bawah SOSMA untuk siasatan lanjut.
“Seorang suspek pula dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.
Beliau berkata, semua 52 suspek berumur 20 hingga 65 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah terancang.
Mengenai tiga warga Thailand yang ditahan di negara itu, Surina berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Thailand untuk membenarkan polis membawa masuk suspek utama kes itu ke negara ini.
Beliau berkata, terdapat beberapa lagi tangkapan akan dibuat bagi memastikan semua suspek terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Pada 24 Nov lalu, Baharuddin Ramli, 54, terkorban, manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600m dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.