Tiada perubahan kriteria keluarkan wang Akaun 1 i-Sinar buat masa ini, kata KWSP

Tiada perubahan kriteria keluarkan wang Akaun 1 i-Sinar buat masa ini, kata KWSP

Semua pencarum Kategori 1 di bawah skim i-Sinar akan diberikan kelulusan automatik

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
PETALING JAYA:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kriteria kemudahan pengeluaran i-Sinar, termasuk keperluan pencarum kategori 2 mengemukakan dokumen untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1.

“Buat masa ini, tiada sebarang perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar.

“Dijangkakan sebahagian besar daripada 8 juta ahli yang layak memohon di bawah Kategori 1 akan diberikan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan,” kata KWSP dalam kenyataan.

Permohonan dalam talian akan bermula 21 Disember 2020 dan pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2021 menerusi Akaun 1, kata kenyataan itu.

Kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my.

Kategori 2 pengeluaran simpanan Akaun 1 adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas.

Mereka dikehendaki mengemukakan dokumen berkaitan untuk memohon mengeluarkan simpanan Akaun 1 mulai 11 Januari depan.

Bekas perdana menteri Najib Razak antara yang lantang mendesak kerajaan menarik balik syarat mewajibkan pencarum kategori 2 mengemukakan pelbagai dokumen untuk mengeluarkan simpanan akaun 1 mereka.

Beliau berkata keperluan mengemukakan dokumen itu membebankan pencarum dan melengahkan proses untuk mereka menerima bantuan bagi mengharungi kesan pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.