
Sebaliknya, Fadillah menjelaskan RM100 itu merupakan peruntukan tanda token “untuk satu projek sahaja”, yang perlu disediakan bagi tujuan pindah peruntukan jika arahan perubahan kerja bagi projek berkenaan diluluskan Kementerian Kewangan.
“Peruntukan tanda token RM100 itu disediakan untuk satu projek sahaja, iaitu projek menaik taraf jalan dari Donggongon ke Papar-Spur (Fasa 2 dan 3) yang kini telah mencapai kemajuan 90% dan perlu disiapkan mengikut kontrak iaitu selewat-lewatnya pada 31 Dis 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Donggongon terletak kira-kira 37km dari Papar.
“Berikutan terdapat arahan perubahan kerja (VO) bagi projek berkenaan, peruntukan tanda token RM100 perlu disediakan sebagai persediaan bagi tujuan pindah peruntukan jika VO itu diluluskan Kementerian Kewangan kelak.”
Menurut Fadillah, projek naik taraf jalan dari Donggongon ke Papar-Spur itu salah satu “butiran” bawah Maksud Pembangunan P27 kementeriannya, dalam buku cadangan Belanjawan 2021.
Katanya, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM1.18 bilion bawah “butiran-butiran projek lain”, termasuk RM1 bilion untuk membiayai pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
Di samping itu, RM100 juta juga dicadangkan bawah “butiran-butiran lain” di Sabah, antaranya membina jalan baharu, menaik taraf jalan, penggantian jambatan sempit dan usang, dan pembaikan cerun.
Kementerian juga mencadangkan RM45 juta untuk selenggara lebih 1,440km jalan persekutuan di Sabah, dan tambahan RM50 juta bagi penyelenggaraan kecil.