RM14.58 bilion dibelanja di bawah Penjana sehingga 20 Nov, kata Tengku Zafrul

RM14.58 bilion dibelanja di bawah Penjana sehingga 20 Nov, kata Tengku Zafrul

Pada 23 Sept perdana menteri mengumumkan inisiatif tambahan khas, Kita Prihatin sebanyak RM10 bilion bagi meringankan beban rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, RM14.58 bilion atau 42% daripada dana RM35 bilion di bawah Penjana dibelanjakan setakat 20 Nov lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sejumlah RM14.58 bilion atau 42% daripada RM35 bilion yang diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dibelanjakan setakat 20 Nov, 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata mengikut pecahan teras di bawah pelan tersebut, sebanyak RM7.15 bilion atau 54% daripada jumlah keseluruhan RM13.2 bilion di bawah teras pertama dibelanjakan dan dimanfaatkan sejumlah 1.36 juta penerima.

“Bagi teras kedua yang bertujuan untuk melonjakkan perniagaan, sebanyak RM5.54 bilion atau 38% daripada RM14.7 bilion dibelanjakan dimanfaatkan oleh lebih 40,000 perniagaan.

“Bagi teras ketiga yang bertujuan untuk merangsang ekonomi, sebanyak RM1.9 bilion atau 27% daripada RM7.1 bilion dibelanjakan yang memberi manfaat kepada kira-kira 11.36 juta penerima,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang meminta jumlah sebenar yang dibelanjakan melalui program Penjana dan jumlah penerima bagi program tersebut.

Abdullah Sani juga ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menambah jumlah peruntukan kepada program ini berdasarkan pandemik Covid-19 yang dilihat belum ada kesudahan.

Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerangka inisiatif tambahan khas, Kita Prihatin bernilai RM10 bilion pada 23 Sept lepas yang merupakan kesinambungan kepada pakej Prihatin dan Penjana yang bertujuan meringankan beban rakyat, mengekalkan pekerjaan dan membantu perniagaan.

“Inisiatif tambahan ini disalurkan melalui mekanisme Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) sebanyak RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Prihatin2.0 (GKP 2.0) sebanyak RM600 juta.

“Ketiga-tiga kesinambungan inisiatif tersebut akan terus dapat membantu rakyat dan peniaga yang masih terjejas dalam fasa pemulihan tersebut,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas, beliau berkata, Kementerian Kewangan turut mengumumkan pelbagai inisiatif tambahan bagi membantu rakyat, golongan peniaga kecil dan PKS mikro serta sektor ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.