Petronas, Sarawak meterai perjanjian penyelesaian komersial, bentuk rangka kerja perundingan

Petronas, Sarawak meterai perjanjian penyelesaian komersial, bentuk rangka kerja perundingan

Presiden dan CEO Kumpulan Petronas berkata perjanjian akan membuka ruang kerjasama baharu antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

CEO Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata perjanjian penyelesaian komersial akan mewujudkan rangka kerja antara Petronas dan kerajaan negeri yang membolehkan Petros terlibat lebih aktif dalam kegiatan minyak dan gas darat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan Sarawak memeterai perjanjian penyelesaian komersial mengenai isu-isu yang melibatkan cukai jualan dan undang-undang perlombongan minyak negeri itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata perjanjian penyelesaian komersial tersebut akan mewujudkan rangka kerja antara syarikat minyak nasional itu dan kerajaan negeri yang membolehkan Sarawak terlibat lebih aktif dalam aktiviti minyak dan gas darat menerusi Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

“Di bawah perjanjian penyelesaian komersial ini, kedua-dua Petronas dan kerajaan negeri bersetuju membentuk rangka kerja perundingan bagi meningkatkan kerjasama menerusi kaedah rasmi dan berstruktur terdiri daripada jawatankuasa penyelarasan bersama dan dialog strategik tahunan.

“Platform ini akan dipengerusikan bersama antara ketua menteri Abang Johari Openg dan Pengerusi Petronas Ahmad Nizam Salleh,” katanya pada majlis permeteraian perjanjian itu, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz serta Abang Johari.

Perjanjian penyelesaian komersial itu dimeterai oleh Tengku Muhammad Taufik, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management Mohamed Firouz Asnan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Jaul Samion dan pemangku Peguam Besar Sarawak Saferi Ali.

Tengku Muhammad Taufik berkata perjanjian itu akan membuka ruang kerjasama baharu antara Petronas dan Petros, termasuk pembangunan Pelan Induk Gas Sarawak dan usaha berterusan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada vendor Sarawak.

“Menerusi perjanjian ini, Petronas berharap pemberian lesen yang lebih cepat dan pemprosesan perkara berkaitan dengan tanah dan imigresen serta perkara-perkara lain di bawah bidang kuasa negeri akan dipermudahkan bagi memastikan industri minyak dan gas negeri terus berkembang,” katanya.

Menurutnya, hubungan Petronas dengan Sarawak menjanjikan pulangan ketara kepada negeri itu kerana kedua-duanya berkongsi aspirasi yang sama bagi sektor minyak dan gas negeri.

Beliau berkata selain memanfaat dan menambah nilai kepada sumber hidrokarbonnya, Petronas berpeluang untuk terlibat bersama kerajaan negeri dan agensi-agensinya dalam usaha memperkasakan rakyat menerusi pendidikan, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan serta alam sekitar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Awang Tengah Ali Hasan berkata permeteraian perjanjian penyelesaian komersial itu menandakan bermulanya kebangkitan perlombongan darat di Sarawak, satu-satunya tempat di Malaysia yang mempunyai aktiviti petroleum huluan.

Beliau berkata kerajaan negeri telahpun mengeluarkan dua pajakan perlombongan minyak kepada Petros merangkumi kawasan di Miri dan berdekatan Marudi untuk memulakan operasi petroleum.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Petronas untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran mesra pelaburan yang stabil, kondusif bagi pembangunan dan pertumbuhan mampan industri minyak dan gas, huluan dan juga hiliran di Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.