
Mesyuarat diadakan di Menara Dato Onn di sini, bermula pada kira-kira pukul 8 malam dan dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti itu.
Antara yang kelihatan hadir ialah Naib Presiden Khaled Nordin, Mahdzir Khalid, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad, ahli MKT Umno Razali Ibrahim, Abdul Rahman Mohamad, Bung Moktar Radin dan Jalaluddin Alias.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dikatakan antara calon menteri besar Perak daripada parti itu, bagi menggantikan ADUN Chenderiang daripada PPBM Ahmad Faizal Azumu.
Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa di laman Twitter beliau, selain mesyuarat MKT UMNO malam ini, dua lagi mesyuarat iaitu Dewan Tertinggi BN dan mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional, masing-masing akan diadakan esok dan lusa.
Media tempatan dan antarabangsa berkumpul sejak pukul 7.00 malam tadi, bagi menantikan kehadiran pemimpin tertinggi parti itu, selain menunggu sekiranya ada sidang media.