Muhyiddin lancar Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030

Muhyiddin lancar Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata, PPMJ 2030 merupakan pelan hala tuju bagi memacu pembangunan negeri secara progresif dan dinamik.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) melancarkan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2023 di Kota Iskandar hari ini. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan buku Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 di ruang legar Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Pelan itu yang mengandungi lapan teras utama merupakan dokumen rujukan kepada seluruh barisan kepimpinan negeri, jentera pentadbiran kerajaan, pihak industri, pemimpin tempatan dan pihak-pihak berkenaan dalam merealisasikan strategi pembangunan yang dirangka untuk tempoh 10 tahun.

Antara teras yang ditekankan dalam pelan terbabit ialah usaha pemerkasaan ekonomi, memperkasakan pelaburan dan ekonomi digital, penyediaan jaringan sistem pengangkutan dan infrastruktur mega serta melestarikan alam sekitar.

Turut diberi fokus ialah soal mengenai tadbir urus yang cekap, berintegriti dan dinamik; kesejahteraan sosial, memperkasakan sistem pendidikan Islam, pembangunan modal insan dan warisan budaya; serta pesona wanita dan aspirasi idealis anak muda.

Selain itu, pelan juga dirangka dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta aspirasi kerajaan negeri yang mahu memastikan ekonomi Johor berdaya tahan demi kemakmuran rakyat.

Sementara itu, semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 negeri Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar Hasni Mohammad berkata, PPMJ 2030 merupakan pelan hala tuju yang dijangka dapat memacu pembangunan negeri secara progresif dan dinamik berpaksikan visi Negeri Berprestasi Tinggi dan Bangsa Johor Bestari.

“Saya yakin suatu anjakan paradigma mampu dilakukan dalam mencorakkan masa depan Johor yang gemilang bagi tempoh sedekad akan datang untuk menjadikannya negeri berprestasi tinggi dan ini cukup serasi dengan gagasan yang kita bawa iaitu Makmur Johor,” katanya sebelum pelancaran buku berkenaan.

Turut hadir pada pelancaran buku itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kayat; Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani; Exco Johor serta Ketua Pembangkang Aminolhuda Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.