Kit Siang gesa Tengku Zafrul tangani isu dibangkit dalam laporan Fitch

Kit Siang gesa Tengku Zafrul tangani isu dibangkit dalam laporan Fitch

Antara isu yang dibangkitkan dalam laporan Fitch ialah pentadbiran lemah, rasuah dan peningkatan hutang.

Lim Kit Siang berkata, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz perlu menangani kritikan sah dan berwibawa dalam laporan Fitch.
PETALING JAYA:
Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz menangani isu dibangkitkan dalam laporan terbaru Fitch Ratings, yang menyebabkan penarafan Malaysia diturunkan Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataan Tengku Zafrul dalam respons terhadap penurunan taraf itu gagal menyentuh kritikan Fitch berhubung pentadbiran lemah, rasuah dan peningkatan hutang, antara lain.

“Kenyataan tersebut adalah satu penafian menyedihkan – kes yang dibentangkan tidak mempunyai kredibiliti memandangkan ia terus mengulangi angka dan dakwaan ‘syok sendiri’ seperti biasa.

“Kritikan yang sah dan kredibel dalam laporan Fitch harus diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim memberi amaran penurunan taraf Malaysia akan mempengaruhi kos pinjaman dan pelaburan asing dalam negara memandangkan penarafan kredit negara Asean lain tidak diturunkan.

Katanya, ia juga mungkin memberi kesan terhadap kadar tukaran mata wang asing dan hubungan luar negara, selain Malaysia mungkin lebih cenderung bergantung kepada China untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai projek berskala besar.

Beliau berkata, terdapat keperluan mendesak untuk menjalankan kajian perbelanjaan awam komprehensif untuk mengukuhkan sistem fiskal.

“Perkara ini perlu disertakan pengurangan peraturan dan proses untuk mewujudkan persekitaran mencegah rasuah.

“Walaupun benar Covid-19 membawa kerosakan kepada ekonomi, hakikatnya lebih 20 tahun, kita mengalami defisit dan terus melakukan pinjaman. Kita terus mengetatkan rejim penguatkuasaan dan gagal menggalakkan persaingan.”

Kelmarin, agensi penarafan AS, Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia daripada “A-“ kepada “BBB+”, dengan unjuran daripada negatif kepada stabil.

Tengku Zafrul dilaporkan berkata, kerajaan kecewa dengan hasil penarafan itu dan penurunan itu didorong kesan Covid-19 ke atas kedudukan kewangan negara serta keadaan politik domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.