
Adun Kundasang, Joachim Gunsalam berkata, jambatan gantung sepanjang 150m dan setinggi 2.4m itu dibina sejak 10 tahun lalu.
“Ia satu-satunya jambatan utama yang menghubungkan penduduk kampung dengan kawasan seberang.
“Ketiadaan jambatan ini menyebabkan aktiviti sosio-ekonomi penduduk di sini dalam bidang pertanian terjejas kerana mereka sukar membawa keluar hasil pertanian mereka,” kata timbalan ketua menteri Sabah itu dalam kenyataan hari ini selepas meninjau keadaan jambatan runtuh itu.

Pada 23 Nov lalu, tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut cedera, selepas terjatuh ketika cuba mendapatkan akses internet bagi mengikuti kelas dalam talian di atas jambatan gantung itu.
Difahamkan, dua daripadanya patah di bahagian paha dan betis, manakala seorang lagi cedera tulang belakang.
Gunsalam berkata, jambatan agak usang itu pernah dibaiki, namun ia memerlukan pembinaan semula secara menyeluruh kerana strukturnya tidak mampu bertahan lagi.
“Buat masa ini, pengangkutan utama penduduk di sini ialah jalan sungai dengan menggunakan bot atau sampan kecil.”