Beri pengampunan kepada pendatang asing jalani ujian Covid-19, kata pakar

Beri pengampunan kepada pendatang asing jalani ujian Covid-19, kata pakar

Seorang pakar kesihatan awam berkata pengampunan akan membenarkan pendatang asing tanpa dokumen menjalani ujian tanpa rasa takut ditangkap atau dihantar pulang.

Pekerja kesihatan berdepan kesukaran bagi mendapatkan pendatang asing membuat saringan Covid-19.
PETALING JAYA:
Seorang pakar kesihatan awam menggesa pengampunan imigresen diberikan kepada pendatang asing tanpa dokumen, yang akan membolehkan mereka menjalani ujian Covid-19 tanpa berrasa takut akan ditahan atau dihantar pulang.

Pensyarah Universiti Malaya, Tharani Loganathan berkata, pengampunan imigresen adalah jalan terbaik kerana jaminan semata-mata tidak akan berhasil kerana kurangnya kepercayaan, selepas insiden uji dan tahan yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata pengampunan sepanjang tempoh pandemik itu dan “menghalalkan” kehadiran mereka kemudian, dengan memastikan mereka diinsuranskan, adalah langkah terbaik untuk jangka panjang.

“Jaminan ini perlu dibuat oleh kerajaan, termasuk imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Pekerja kesihatan di Sabah dilaporkan berdepan kesukaran untuk mendapatkan pendatang asing diuji virus itu, begitu juga di negeri lain di mana jangkitan di asrama pekerja asing dilaporkan meningkat.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa KKM menarik balik arahan yang menghendaki hospital dan klinik melaporkan pendatang tanpa izin yang datang bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, langkah yang perlu diambil di bawah arahan bertarikh 18 Sept 2001, yang biasanya dipanggil “Pekeliling 10/2001”, berada di luar bidang kuasa profesional perubatan.

Pekeliling 10/2001 yang mewajibkan pekerja kesihatan kerajaan melaporkan warga asing tanpa izin. KKM berkata ia akan menjejaskan imej hospital kerajaan dan perkhidmatan kesihatan yang diberi.

Sebilangan doktor melaporkan pendatang asing, yang lain tidak

Tinjauan FMT di hospital besar di Kedah, Lembah Klang dan Sabah menunjukkan respons yang bercampur-campur berhubung arahan melaporkan pendatang tanpa dokumen.

Seorang doktor di Sabah berkata, hospitalnya menerima ramai pendatang tanpa dokumen, tetapi sudah menjadi kebiasaan untuk tidak melaporkannya.

Seorang lagi doktor di Kedah berkata, arahan itu dipatuhi dengan ketat.

Bagaimanapun, sebuah hospital kerajaan di Selangor berkata ia akan dibuat berdasarkan kes, dengan tahap kesihatan pesakit diteliti terlebih dahulu.

“Ia adalah budi bicara kami sama ada lapor atau tidak. Dasar itu berbeza dari semasa ke semasa,” kata doktor itu

Bukan tugas doktor periksa status imigresen

Tharani berkata Pekeliling 10/2001 melihat bukan warganegara sebagai “ancaman keselamatan negara” dan doktor diletakkan pada kedudukan sukar untuk tidak merawat seseorang berdasarkan status undang-undang mereka.

“Ini bertentangan dengan etika perubatan.”

Subramaniam berkata: “bukan tugas profesional kesihatan atau kakitangan untuk memeriksa pengenalan dan memastikan apakah pesakit memasuki negara ini secara haram.

“Penjagaan kesihatan adalah hak asasi manusia dan tidak ada yang perlu takut untuk hadir ke fasiliti kesihatan bagimenerima rawatan.”

Subramaniam berkata “pendekatan yang lebih lembut” dapat menhalang pekerja asing melarikan diri kerana takut.

“Pendatang tanpa dokumen adalah kumpulan keutamaan tinggi untuk menjalani ujian Covid-19. Cara lebih baik mesti dicari bagi memastikan mereka bekerjasama.

“Pembaharuan juga sangat diperlukan di depot tahanan imigresen bagi membolehkan jarak fizikal selamat antara pendatang yang ditahan,” katanya.

Doktor Tanpa Sempadan Malaysia baru-baru ini menggesa KKM supaya mewujudkan sempadan antara perkhidmatan kesihatan dengan isu keselamatan supaya pegawai kesihatan awam tidak diminta melaporkan pendatang asing kepada pihak berkuasa.

FMT meminta komentar daripada ketua pengarah kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.