Sultan Perak mahu pemimpin politik cari formula terbaik selesai kemelut negeri

Sultan Perak mahu pemimpin politik cari formula terbaik selesai kemelut negeri

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada jam 10 pagi esok.

Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini bercakap kepada pemberita di luar Istana Kinta hari ini.
IPOH:
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menasihatkan pemimpin politik negeri itu supaya mencari formula terbaik dalam membentuk kerajaan negeri yang baru.

Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap istana dan Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini kepada media di luar Istana Kinta sebentar tadi.

“Segala pandangan didengar, tetapi bukanlah tanggungjawab Sultan untuk campur tangan dalam urusan parti politik.

“Sultan hanya boleh menasihatkan dan mahukan formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan dan pimpinan baru di negeri Perak,” katanya.

Mohd Annuar juga berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadap Sultan Perak, di Istana Kinta pada jam 10 pagi esok.

Beliau berkata, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) sudah diterima menghadap bagi memaklumkan keadaan semasa dan pendirian PH berkait suasana politik di Perak sekarang.

Mohd Annuar berkata, beliau difahamkan rundingan masih berlangsung membabitkan parti politik, malah ada yang akan mengadakan mesyuarat khas parti.

“Itu yang kita difahamkan, tapi kena tanya sendiri orang parti, kena tanya pemimpin parti. Saya hanya maklumkan apa yang berlaku di istana pagi tadi.

“Pemimpin PH jumpa Tuanku tiga sekali (serentak) atas nama PH. Buat masa ini belum ada kerajaan yang mempunyai majoriti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.