Nanas jadi tanaman ‘hiasan’ balai bomba KK, indah landskap sambil tunggu hasil

Nanas jadi tanaman ‘hiasan’ balai bomba KK, indah landskap sambil tunggu hasil

Kira-kira 150 tanaman nanas selain 50 betik yang ada di sekitar kawasan BBP Kota Kinabalu itu.

Tanah lapang yang luas itu merupakan bekas tapak kuarters sebelum ini dirobohkan dipenuhi dengan tanaman nanas.
KOTA KINABALU:
Mengindahkan landskap dengan pelbagai jenis pokok bunga di halaman atau kawasan sekitar mungkin menjadi kebiasaan bagi pejabat jabatan atau agensi kerajaan.

Bagaimanapun, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menampilkan sedikit kelainan apabila memilih nanas sebagai tanaman “hiasan” bagi mengisi kawasan lapang mereka.

Selain nanas, betik turut menjadi pilihan balai itu untuk dijadikan tanaman hiasan.

Ketua BBP Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, cetusan idea untuk menanam nanas dan betik di kawasan balai berkenaan datang secara bersama oleh pegawai dan anggota di situ.

“Sebelum ini, iaitu ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac lalu, kami ada juga menanam jagung tetapi hasilnya sudah habis dimakan.

“Selepas jagung, kami memilih tanaman yang lama sedikit (membuahkan hasil) iaitu nanas dan betik, lagi pun bentuk tanaman dua buah ini lebih cantik.

“Kami mula menanam nanas dan betik sejak September lalu iaitu kira-kira 150 nanas dan 50 betik,” katanya kepada FMT.

Pihak BBP Kota Kinabalu turut menanam nanas di sekeliling balai itu bagi mencantikkan lagi persekitaran kawasan terbabit.

Ordine berkata, antara sebab mereka menanam tanaman yang membuahkan hasil kerana balai itu mempunyai kawasan lapang yang sangat luas.

“Selepas kuarters anggota bomba yang terletak bersebelahan balai dirobohkan, kami mempunyai kawasan tanah lapang yang sangat luas selain beberapa kawasan lapang di sekitar balai.

“Daripada kami perlu meracun serta memotong rumput setiap minggu lebih baik kami menanam sesuatu yang membuahkan hasil.

“Di samping menunggu hasilnya yang akan dibahagi-bahagi dalam kalangan kakitangan, tanaman nanas ini juga membuatkan kawasan balai lebih cantik dan menarik,” katanya.

Beliau berkata, benih nanas dan betik itu dibeli mereka selepas mengumpul wang daripada pegawai dan anggota di situ.

“Usaha ini juga salah satu cara kami untuk menyahut seruan kerajaan terutama ketika PKP ini kerana balai juga perlu ‘survive’ selain merealisasikan konsep pertanian dalam bandar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.