
Noor Aziah Mohd Awal memberitahu FMT kenyataan timbalan menteri itu bercanggah dengan hak seorang wanita untuk berkahwin dan membina sebuah keluarga.
“Saya sangat kecewa dengan jawapan di Parlimen. Isu keselamatan apakah yang mereka katakan?” soal beliau.
“Secara asas, mereka berkata seorang wanita tidak boleh berkahwun dengan orang asing kerana jika dia melakukannya, dia perlu pulang ke negara asal untuk melahirkan bagi memastikan anaknya diberi kewarganegaraan Malaysia.
“Ini jelas diskriminasi terhadap wanita. Lelaki Malaysia dengan pasangan asing dapat mewarisikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka, tetapi tidak wanita kita. Itu tidak adil,” katanya.
Semalam, Ismail memberitahu Dewan Rakyat jika seorang wanita Malaysia berkahwin dengan orang asing, tanpa mengira sama ada perkahwinan itu betul dan diiktiraf, anak yang dilahirkan di luar negara tidak akan diberi kewarganegaraan secara automatik.
“Ini bagi mengelak kanak-kanak itu mendapat dwi kerakyatan, dan di negara lain, kewarganegaraan anak akan mengikut ayah,” katanya ketika menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.
Noor Aziah menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya menimbangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kanak-lanak Malaysia, tidak kira di mana mereka dilahirkan, menjadi warganegara secara automatik.
Pengasas bersama Kumpulan Penyokong Pasangan Asing (FSSG) Bina Ramanand menjelaskan persoalan yang diajukan oleh Natrah sebenarnya berdasarkan draf yang dihantar oleh sekumpulan ibu Malaysia yang telah bertahun-tahun menunggu kewarganegaraan anak-anak mereka.
“Mereka mahu tahu mengapa terlalu lama untuk wanita Malaysia mendapatkan kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar negara, sedangkan prosesnya memerlukan waktu kurang dari tiga bulan untuk lelaki Malaysia.
“Para ibu ini terkejut mendengar jawapan timbalan menteri dalam negeri itu,” katanya kepada FMT, sambil mempersoalkan mengapa alasan dwi kerakyatan hanya terpakai untuk ibu di Malaysia.
Pegawai program FSSG Melinda Anne Sharlini berkata, Malaysia adalah negara anggota daripada kumpulan 25 negara yang tidak memberikan hak jantina setara berkait kewarganegaraan kanak-kanak.
Beliau menambah banyak wanita hamil mempertaruhkan nyawa mereka untuk pulang ke Malaysia hanya untuk mendapatkan kewarganegaraan anak-anak mereka berikutan dasar yang ketat itu.
Katanya, mereka yang tidak (pulang ke Malaysia) menunggu permohonan mereka diluluskan selama lebih enam tahun, diburukkan lagi susulan jangkitanpandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan antarabangsa.

Sementara itu, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh berkata, dasar semasa itu mengurangkan pilihan buat wanita Malaysia yang meminta perceraian, perlindungan atau bantuan, kerana ia “menganggap kehadiran bapa dalam sesebuah keluarga sebagai bahagia”.
Namun katanya, ini jauh daripada realiti yang dihadapi oleh banyak wanita Malaysia, yang kerap tersekat kerana anak-anak mereka tidak mempunyai kewarganegaraan di tanah air sendiri.
“Wanita Malaysia memberikan sumbangan yang sama kepada pembangunan ekonomi dan sosial kita dan mereka harus dilayan sama seperti pasangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kementerian Dalam Negeri harus diingatkan bahawa ancaman lebih besar terhadap keselamatan negara adalah rasuah dalam agensi sistem penguatkuasaan seperti yang dilihat dalam laporan penangkapan pegawai imigresen dan polis baru-baru ini. Kanak-kanak yang tidak bersalah tidak mungkin dan tidak akan membahayakan negara kita.”