4 kluster baru Covid-19 di Sabah, Selangor dan KL

4 kluster baru Covid-19 di Sabah, Selangor dan KL

Ia adalah kluster Batu Tiga, Jalan Domis, Andalas dan Bulatan.

Sebanyak 187 kluster aktif masih dipantau Kementerian Kesihatan, manakala 198 kluster sudah tamat setakat ini.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengesan 4 kluster baru Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah kluster Batu Tiga dan Jalan Domis di Sabah, kluster Andalas di Selangor dan kluster tapak binaan Bulatan di Kuala Lumpur.

Kluster Batu Tiga dikesan di daerah Tawau, Sabah, di mana kes indeks dilaporkan positif pada 17 Nov lalu hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini 28 orang disaring, dengan semuanya didapati positif Covid-19.

Kluster Jalan Domis membabitkan daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Tongod di Sabah, dengan kes indeks dilaporkan pada 29 Nov lalu hasil saringan kontak rapat.

Setakat ini, 132 individu disaring dan 12 daripadanya disahkan positif virus itu.

Untuk kluster Andalas di Klang, Selangor, kes indeks dikesan selepas seorang individu disahkan positif 3 Dis lalu.

Seramai 43 individu disaring setakat ini, dengan 16 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Kluster tapak binaan Bulatan membabitkan daerah Cheras, Tititwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur, di mana kes indeks ialah hasil saringan sebelum ke luar negara pada 2 Dis lalu.

Seramai 319 orang disaring setakat ini, dengan 163 individu disahkan positif virus itu.

Hisham berkata, 385 kluster dikesan di seluruh negara setakat ini, dengan 198 daripadanya tamat setakat ini, termasuk 5 kluster yang tamat hari ini, iaitu Fores, Aero, Sungei Way, Baki dan Seladah.

Katanya, terdapat 187 kluster aktif masih dipantau Kementerian Kesihatan.

“Daripada jumlah tersebut, 49 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

“Pertambahan kes baru tertinggi adalah kluster Tapak Bina Bulatan (162 kes), kluster Ria-30 (51 kes) dan kluster Batu Tujuh (39 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.