
Naib Presiden PAS, Nik Mohd Amar Abdullah berkata, berdasarkan undang-undang tubuh kerajaan negeri, apabila seseorang menteri besar hilang sokongan, beliau sama ada perlu meletak jawatan atau menasihati Sultan Perak supaya membubarkan DUN bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri.
“Dari segi undang-undang, bila menteri besar tak dapat kepercayaan ahli dewan dia (Faizal) ada dua pilihan.
“Pertama dia meletak jawatan. Kedua kalau dia tidak mahu letak jawatan dia kena mengadap Sultan dan menasihatkan supaya dewan dibubar. Itu sahaja pilihannya.
“Bukan automatik bila dapat undi tak percaya, tidak automatik jatuh. Ada prosesnya,” katanya kepada FMT hari ini.
Apabila ditanya adakah pilihan raya wajar diadakan ketika wabak Covid-19 belum reda, Nik Amar berkata, keputusan itu terletak di tangan Faizal.
Nik Amar berkata, pihaknya menunggu langkah yang akan diambil oleh Faizal sebelum parti Islam itu membuat pendirian seterusnya.
“Kita tunggu apa yang menteri besar akan lakukan, sebab perkara ini baru berlaku,” katanya.
Kerajaan Perak pimpinan Faizal tumbang apabila beliau gagal memperoleh sokongan majoriti dalam undian usul percaya secara belah bahagi pagi tadi.
Dalam undian yang dikendalikan oleh Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, berbanding 48 yang membantah dan 1 undi rosak.
Usul undi percaya terhadap Faizal dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim dari Umno.
Ditanya sama ada hubungan PAS dengan Umno akan terkesan susulan perkembangan yang berlaku di Perak, Nik Amar berkata, kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) masih kekal.
“Apa pun kita tunggu dulu, apa tindakan yang akan diambil menteri besar. Soal hubungan itu, pusat yang akan tentukan,” katanya.
DUN Perak terdiri daripada 24 ADUN Umno, empat PPBM, dan tiga PAS, dengan pembangkang terdiri daripada 16 DAP, lima Amanah, dan tiga PKR.