P Pinang akan bantu pekerja Sony terjejas

P Pinang akan bantu pekerja Sony terjejas

Kerajaan negeri akan mengerakkan rangkaiannya untuk membantu ribuan pekerja yang terjejas apabila kilang Sony di Prai ditutup.

P Ramasamy.
PETALING JAYA:
Kerajaan Pulau Pinang akan mengerakkan rangkaiannya untuk membantu ribuan pekerja Sony di negeri itu yang terjejas apabila kilang Sony di Prai ditutup pada September tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi awam dan swasta dalam menghadapi penutupan kilang itu, yang menyebabkan hampir 3,400 pekerja akan diberhentikan.

“Persoalan paling utama adalah bagaimana menyediakan pekerjaan yang menguntungkan bagi mereka yang akan menganggur,” katanya dalam kenyataan.

Ramasamy menyarankan pekerja Sony yang akan diberhentikan mendapatkan bantuan agensi awam dan swasta untuk mendaftarkan diri mereka dengan majikan berpotensi.

“Pusat Bantuan Kerjaya dan Bakat Pulau Pinang dilengkapi ndengan kakitangan dan pengetahuan dari segi pendaftaran mereka yang mencari pekerjaan dan menyediakan maklumat penting kepada pihak industri.

“Agensi awam seperti Invest Penang yang mempunyai hubungan rapat dengan industri di Pulau Pinang boleh memainkan peranan padanan pekerjaan.

“Sekiranya perlu latihan semula, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang boleh dilibatkan untuk mendapatkan kefahaman.”

Semalam, FMT melaporkan kilang Sony di Prai yang menghasilkan produk audio untuk pasaran eksport dan tempatan akan ditutup selepas 36 tahun beroperasi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan Halim Hussain, penutupan itu akan menyebabkan 1,800 pekerja tempatan dan 1,600 pekerja asing diberhentikan.

Halim berkata kilang itu akan ditutup secara berperingkat dan menghentikan operasi sepenuhnya pada September.

“Ini ialah sebahagian daripada rancangan Sony untuk menyusun semula operasinya secara global.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.