
Setiausaha politik kepada ketua menteri Pulau Pinang, Teh Lai Heng berkata, pelbagai dakwaan dipaparkan dalam laman sosial yang mengaitkan kerajaan negeri, termasuk pemimpin DAP dengan individu itu.
“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tanpa asas kononnya barisan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai kaitan dengan salah seorang daripada 8 individu yang dihadapkan di mahkamah pada 30 Jan 2020 di atas kesalahan kegiatan dadah.
“Tindakan mengaitkan barisan kepimpinan kerajaan negeri dan DAP dengan kegiatan individu berkenaan adalah berniat jahat sama sekali dan fitnah yang berniat buruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut laporan media, Ooi Chieng Sim, pengerusi eksekutif Heng Huat Resources Group Bhd dan ATTA Global Group Bhd, adalah antara 8 lelaki yang didakwa atas tuduhan mengedar 4,980 gram methamphetamine di gudang berhampiran premis Atta Global di Kawasan Perindustrian Perai, kira-kira 10.30 pagi pada 16 Jan.