MB Perak baharu: Pilihan antara Adun Rungkup dan Ketua Umno Perak

MB Perak baharu: Pilihan antara Adun Rungkup dan Ketua Umno Perak

Dua Adun itu adalah Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Umno Perak Saarani Mohamad yang juga Adun Kota Tampan.

Adun Rungkup, Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Umno Perak Saarani Mohamad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua Adun Umno disebut-sebut sebagai pilihan parti itu untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak baharu iaitu Adun Rungkup, Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Umno Perak Saarani Mohamad yang juga Adun Kota Tampan.

Sumber parti itu berkata dua pemimpin berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri untuk menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang tewas dalam undi percaya di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Sumber berkenaan berkata perbincangan dalaman parti berlangsung sejak beberapa minggu sebelum ini untuk menentukan kepimpinan baharu Perak.

“Ada dua blok, satu mahukan Shahrul sebagai MB baharu dan satu lagi kumpulan mahukan Saarani,” sumber itu memberitahu FMT.

Shahrul adalah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor. Saarani Mohamad memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna sejak 2004.

Sumber itu berkata Shahrul dilihat sebagai mewakili imej Umno baharu dan mudah bergaul dengan segenap lapisan masyarakat.

“Beliau juga disukai oleh masyarakat Cina dan India di negeri ini,” kata beliau.

Namun, sumber itu berkata, ketokohan Saarani sebagai ketua Umno Perak turut diakui dan beliau juga memiliki kriteria untuk jawatan menteri besar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.