
Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, ia tidak yakin dengan dakwaan kerajaan Kedah bahawa REE yang akan dilombong itu bukan radioaktif memandangkan pengalaman di China menunjukkan ia boleh membawa kerosakan serius terhadap alam sekitar.
Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, negeri itu menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong REE di Sik, Ulu Muda dan Baling.
Beliau menamakan usaha sama berkenaan sebagai “game changer” kerana negeri akan menjana hasil bernilai “puluhan bilion” ringgit daripadanya. Permit penerokaan juga sudah dikeluarkan.
Dalam kenyataan hari ini, Presiden SAM Meenakshi Raman berkata, kajian pada 2013 di selatan China menunjukkan impak negatif perlombongan “ion-adsorption rare earth” seperti yang dirancang di Kedah dan sebahagian Perak.
Beliau berkata, sebahagian kesannya, termasuk hakisan tanah yang teruk, kehilangan biodiversiti, pencemaran air, pencemaran air bawah tanah dan isu kesihatan lain.
“Persoalan utama ialah kenapa memulakan penerokaan untuk mengenal pasti galian nadir bumi jika perlombongan dan pemprosesan galian itu memusnahkan alam sekitar, dan juga kesan serius ke atas kesihatan awam dan manusia?”
Meenakshi berkata kerajaan Kedah harus mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai perlombongan berkenaan atas prinsip ketelusan, termasuk menamakan syarikat terlibat.
Beliau menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memaklumkan dasarnyamengenai industri nadir bumi dan berunding dengan NGO dan masyarakat sebelum membenarkan negeri seperti Kedah dan Perak menjalankan usaha sama begitu.
“Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak seharusnya dikaburkan dengan janji hasil bernilai berbilion atau trilion ringgit daripada industri nadir bumi.
“Ia perlu dilihat sebagai industri toksik dan kotor, sama seperti yang kita ketahui mengenai industri plastik dan tembakau.
“Kita perlu mencari alternatif kepada nadir bumi memandangkan ia merosakkan alam.
“Malaysia mestilah menenetapkan keutamaan yang jelas dan tidak terus menjarah dan merosakkan sumber asli kita atas nama menjana kekayaan ekonomi.
“Jelas, kita tidak belajar daripada pengalaman lepas mengenai industri yang benar-benar mampan, sebaliknya mewariskan legasi toksik untuk generasi akan datang,” katanya.