Pegawai imigresen ditahan atas dakwaan rasuah untuk bebas tahanan

Pegawai imigresen ditahan atas dakwaan rasuah untuk bebas tahanan

Sumber berkata, pegawai itu didakwa meminta rasuah RM22,000 untuk membebaskan 2 warganegara China yang ditahan bulan lalu kerana menggunakan cap palsu.

SPRM Selangor mengesahkan penahanan itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.
PETALING JAYA:
FMT difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai imigresen yang didakwa menerima rasuah untuk membebaskan tahanan.

Sumber memberitahu FMT, SPRM Selangor menahan pegawai itu atas dakwaan meminta rasuah RM22,000 untuk membebaskan 2 warganegara China yang ditahan bulan lalu kerana menggunakan cap palsu untuk masuk dan keluar dari negara ini.

Pegawai berusia 26 tahun itu, yang bertugas di bahagian operasi KLIA, ditahan pada 7.45 malam Rabu, selepas dia dikatakan menerima rasuah itu di sebuah stesen minyak dekat lapangan terbang.

Sumber itu berkata, kes ini tiada kaitan dengan Ops Selat, yang menyaksikan 39 anggota dan pegawai imigresen ditahan, dan pegawai ini bekerja bersendirian serta didakwa sering berbuat demikian.

“Rasuah di KLIA sudah menjadi pandemik dan membimbangkan. Ini ialah masalah keselamatan negara. Pegawai korup bertugas memudahkan pendatang tanpa dokumen yang bermasalah keluar masuk negara.

“Tidak perlu lagi melalui kaedah haram atau mengharungi lautan bergelora untuk memasuki Malaysia. Lebih baik masuk melalui KLIA atau klia2. Ia lebih mudah, cepat dan selamat,” kata sumber itu.

Katanya, pegawai itu ditahan susulan penahanan seorang “ejen” berusia 40 tahun, yang ditemui bersama wang itu pada tengah hari semalam.

Beliau berkata, selepas disoal siasat, “ejen” itu mendedahkan wang berkenaan untuk seorang pegawai imigresen KLIA.

“Modus operandi mereka ialah pegawai imigresen akan memberi maklumat warganegara China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA kepada ejen ini. Kerja ejen itu ialah menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta rasuah bagi membebaskan tahanan itu.

“Keluarga di China kemudiannya akan menghubungi rakan mereka di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan serahkan kepada ejen itu.”

Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.