
Peguam Hajiji dan 32 yang lain itu, Tetuan FT Ahmad & Co berkata, kilen mereka bagaimanapun bertegas bahawa pembubaran itu salah dari segi perlembagaan Sabah dan risiko penularan wabak Covid-19.
Ia berkata satu notis pemberhentian telah difailkan hari ini di Mahkamah Persekutuan.
“Kami mengesahkan menerima arahan daripada Hajiji supaya menarik balik notis permohonan rayuan,” kata firma guaman itu dalam kenyataan.
Kenyataan itu menyebut, 33 individu terbabit juga dinasihati bahawa dengan mengambil kira faktor pilihan raya negeri Sabah baru lepas dan penularan wabak Covid-19 berikutan itu adalah terbaik untuk semua bagi mereka menarik balik saman berkenaan.
Penarikan kes berkenaan diarahkan bekas ketua menteri Musa Aman selepas berunding dengan Hajiji.
Saman Musa bertujuan untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang tetapi berikutan keputusan pilihan raya Sabah yang diadakan baru-baru ini, adalah jelas bahawa Hajiji mendapat mandat rakyat.
Dengan pengikirafan itu dan bagi memperkukuh kestabilan politik di Sabah, Musa mengarahkan supaya permohonan rayuan itu tidak diteruskan.
Kebanyakan daripada 33 pemohon itu sama ada dipilih semula sebagai ADUN atau memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
Difahamkan bahawa kerajaan Sabah akan mengkaji dan merumuskan prosedur yang jelas dan muktamad bagi pembubaran DUN pada masa akan datang.
Semua 33 individu, termasuk bekas ketua menteri Musa Aman, memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Sept.
Musa tidak bertanding dalam pilihan raya negeri
Pihak lain termasuk timbalan ketua menteri Jeffrey Kitingan dan Joachim Gunsalam dan menteri Masidi Manjun, Jahid Jahim, Mohd Arifin Arif dan Ellron Alfred Angin.
Pada 8 Sept, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri mengadakan pilihan raya kilat.
Juhar menerima permintaan ketua menteri ketika itu Shafie Apdal untuk membubarkan DUN pada 30 Julai bagi membuka ruang kepada pilihan raya negeri.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil berkata, tidak ada kesalahan yang boleh dirayu di pihak pesuruhjaya kehakiman Leonard David Shim dalam menolak permohonan untuk semakan kehakiman pada 21 Ogos.
Katanya, keputusan Juhar membubarkan DUN tidak boleh dicabar di mahkamah.
Musa dan 32 bekas ADUN berpendirian bahawa Shafie tidak boleh menasihati Yang di-Pertua untuk membubarkan DUN kerana beliau hilang sokongan majoriti ADUN
Musa, yang juga ADUN Sungai Sibuga pada masa itu, cuba membentuk kerajaan dengan sokongan 32 ADUN lain, termasuk mereka yang berpaling tadah daripada PKR dan DAP.