
Peruntukan bagi kementerian Azmin Ali itu diluluskan dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju, mengalahkan 104 yang tidak bersetuju.
Enam wakil rakyat tidak hadir pada undian ini.
“Maka dengan ini, RUU Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi MITI diluluskan,” kata Speaker Azhar Azizan Harun.
Sorakan “pengkhianat” menyusuli keputusan undian belah bahagi ini, yang berlatarkan perbalahan antara Azmin dan pembangkang berhubung kos penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.
Dewan Rakyat bercakaran selepas Azmin memaklumkan pentadbiran lepas pada Okt 2018 meluluskan RM635 juta bagi tujuan penganjuran APEC, dan dikurangkan kepada RM350 juta pada Julai 2019.
Azmin memaklumkan, oleh kerana mesyuarat APEC dijalankan secara dalam talian ekoran wabak Covid-19, kementerian hanya menggunakan RM66.6 juta dan baki RM233.4 juta dipulangkan semula untuk kegunaan pakej rangsangan.
Lim mencelah dan berkata RM66.6 juta masih terlalu tinggi bagi persidangan yang dijalankan secara dalam talian, menggesa audit dilakukan bagi menyemak perbelanjaan.
Azmin mendakwa Lim cuba bermain politik, dan berkata penjelasan lanjut akan dibuat secara bertulis.